ﺑﺴﻢﷲاﻟﺮﺣﻤﻦاﻟﺮﺣﻴﻢ

YA ALLAH, TUNJUKILAH KAMI BAHAWA YANG BENAR ADALAH BENAR DAN BERI KEMAMPUAN MENGIKUTINYA. DAN TUNJUKKANLAH KEPADA KAMI BAHAWA YANG SALAH ITU SALAH DAN BERIKAN KEMAMPUAN MENJAUHINYA.

AMIN YA RAHMAN YA RAHIM

Sabtu, 4 September 2010

Bohlul al Majnun

Bohlul al Majnun gambaran pelukis


Syeikh as Sariy as Saqathy bercerita:

Pada suatu hari aku mendatangi kawasan perkuburan bagi menziarahi dan membacakan sesuatu kepada penghuni-penghuninya. Tiba-tiba aku terlihat Bohlul al Majnun (Bohlul si Gila). Begitulah dia dikenali orang. Tetapi dia sebenarnya bukan orang gila. Sesiapa yang tidak mengenalinya akan menyangkakan bahawa dia itu orang gila.

Aku melihat Bohlul al Majnun berada di sebuah kubur di situ. Dia sedang menggolek-golekkan tubuhnya di atas tanah perkuburan itu. Aku tidak hairan melihat perlakuannya itu kerana aku sudah tahu hanya dia sahaja yang akan melakukan perbuatan yang orang lain tidak akan melakukannya.

"Mengapa engkau di sini?" tanyaku kepadanya.

"Memang aku cukup senang berada di sini. Mereka tidak pernah menyusahkan aku, dan apabila aku pergi dari sini, mereka tidak pernah mencaciku di belakangku," tambahnya lagi.

Aku merenung wajahnya, dan aku tahu kata-kata seumpama ini bukanlah kata-kata yang biasa diucapkan oleh orang gila. Kata-katanya bernas dan mengandungi pengertian yang begitu mendalam.

Aku dapat mengolah kata-katanya itu, bahawa manusia hari ini tidak terlepas daripada perbuatan mencaci ataupun dicaci, mengganggu orang lain ataupun diganggu. Dunia hari ini telah rosak akhlaknya. Manusia tidak mempedulikan salah ataupun betul, dosa ataupun pahala. Mereka lebih senang menurut hawa nafsu semata-mata, meskipun hawa nafsunya itu kerapkali membawa mereka kepada malapetaka dan angkara yang besar.

Aku berdiam diri sebentar, tidak tahu apa yang akan aku tanyakan kepadanya lagi. Aku tidak mahu tersalah bertanya, mana tahu aku bakal menerima jawapan yang tidak enak daripadanya. Orang seperti ini pemikirannya bergerak cepat, mungkin apa yang dikatakanya adalah ilham daripada Allah SWT.

"Wahai Bohlul! Tahukah engkau harga roti sudah naik sekarang ini?" lidahku tiba-tiba berkata begitu, dan aku sendiri tidak tahu mengapa aku berkata-kata dengannya mengenai harga roti pula.

"Demi Allah, wahai Sariy, aku tidak peduli berapa sahaja harganya itu, walaupun sebuku roti berharga sedinar sekalipun. Itu bukan urusan kita," jawabnya tegas dengan wajah berkerut. Dia terlalu serius mengucapkan kata-kata itu.

"Apa yang harus kita pentingkan ialah kita harus menyembah Allah SWT dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang diperintahkan. Allah SWT akan mengurniakan rezekiNya sebagaimana yang dijanjikanNya. Harga roti naik ataupun turun bukan menjadi masalah, sebab walau bagaimanapun keadaannya, rezeki daripada Tuhan tetap ada," Bohlul berfalsafah lagi.