ﺑﺴﻢﷲاﻟﺮﺣﻤﻦاﻟﺮﺣﻴﻢ

YA ALLAH, TUNJUKILAH KAMI BAHAWA YANG BENAR ADALAH BENAR DAN BERI KEMAMPUAN MENGIKUTINYA. DAN TUNJUKKANLAH KEPADA KAMI BAHAWA YANG SALAH ITU SALAH DAN BERIKAN KEMAMPUAN MENJAUHINYA.

AMIN YA RAHMAN YA RAHIM

Isnin, 13 Disember 2010

Aku


Batu tamsilnya keAKUan
Keras dan sombong di dalam diri
Kembalikan ia menjadi zat Tuhan
Akan terhakis dek zikir mengalir bak kali.

Rabu, 24 November 2010

Al 'Urwatul Wutsqaa


Kita sangat selesa berhubung begini
Hubungan melalui qalbu
Tiada jarak
Tiada waktu
Jarak dan Waktu sudah kita jalinkan Cinta
Kita simpulkan jadi kawat berduri
Menjadi pelestarian
Dari bisikan setan.

Pintaku jangan sesekali putuskan
Inilah nikmat dari Arasy tempat bergantung
Inilah Sama' Allah
Inilah Bashar Allah
Inilah Kalam Allah
Kalimatul Al Ulyaa
Tiada nyata hanya Allah.

Selasa, 23 November 2010

Bunga Cinta Sang Wira Pekerti


Saat mekarmu indah
Izinkan aku menikmati harum dan madumu
Sebelum engkau layu
Tinggalkan aku rasa cinta
Lestarikan dalam jiwa
Jadikan ia firasat itu kehendakmu dan pintaku
Cintamu pedomanku dalam Bercinta
Roh kekal menyatu takkan berpisah
Dalam relung Cahaya Aisya
Atas nama Cinta!
Kuharungi perasaan ini
Tanpa titisan airmata
Walaupun ditikam ditusuk
Engkau lahirkan wira
Wira yang mengerti-lebur rukun keenam
Wira yang bertunjang-teguh rukun pertama
Mengertikan hakikat makrifat tanpa khuatir
La hawla wala quwwata illa billah
Segalanya berasal dan kembali
Al Malikul Haqqul Mubin.

Bahagia Abadi


Kucuba tiangi langitMu
Kupagari dengan kawat berduri
Agar kukuh rasa imanku
Agar terpelihara cahaya qalbuku

Aku mahu terus bahagia kekal abadi
Di sana pasti
Jua di sini.

Ahad, 31 Oktober 2010

Fana

(foto oleh Emir Tulus)

"Semua (manusia, haiwan) yang di atas bumi akan fana (binasa).
Dan tinggallah zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemurahan.
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?"

~Ar Rahman 55:26-28~

Ahad, 17 Oktober 2010

Lenyapkan khuatir


Bukalah jendela khuatirmu
Agar hilang sengketa dan gundah
Yakinlah pada cahaya yang menyuluh hatimu
Agar teguh kehidupan alam syahadah.

Serulah nama dan kalam quddus
Kepada yang Haqq kita pulang
Tatkala kita sudah mula memutus
Pekertikan budi pada citra gemilang.

Selasa, 14 September 2010

Rasa Cahaya Rahsia


Mana jalan merintis halus, membuka tirai Rahsia Para Wali..?
Mana nafas menyemarak tubuh, menyelinap ke hati Rindu Para Nabi..?
Mana Zikir penyambung budi, musnah lepas menuju Azali..?
Mana rahsia Ehsan Hakiki, menjadi Rindu Cinta bersama Ilahi..?
Tanah, air, api dan angin yang menjadi sekujur tubuh
Akan kembali ke asal jadi yang bakal hancur dan lebur
Mana dalam soal ku, bukan mana yang tersurat lagi
Mana dalam soal ku adalah mana yang tersirat ASLI

Bangkitnya Rasa mengajak kita kepada apa sebenarnya..?
Tenggelamnya Rasa pula, menuju ke mana kita semua..?
Belum putus jika belum tahu segala Rupa Rahsia
Belum telus jika belum melihat segala Rupa Cahaya
Berenang masih berdiri dengan ikhtiar
Karamlah nyata pada segala Redha dan Tawakal hamba
Menjadi Ikhlas kita hamba semata-mata bersama Dia

Benarkah Rasa yang di dalam dada yang sempit Ilmu mu itu..?
Fikir dan Akal itu adalah taklid dan perumpamaan yang buntu celaru
Lapangan hati mu yang sebenarnya dapat menjangkau keberadaan Aku
Mengandung Rahsia yang tanpa dalil dan umpama yang seribu
Mengandung aku, yang Aku itu adalah kamu
Menjadi Kami, memerintah kita di alam Akbaru

Apakah sebenarnya yang sebenar Rasa itu bagi mu..?
Selamilah untuk kau mengenal Hakikat Rasa, yang sebenarnya Cahaya dalam Qalbun mu
Itulah sebenarnya Batin mu kalau engkau belum bisa ketemu
Itulah satu dari seribu rahsia yang terkandung di dalam jasad mati mu
Yang pada Diri-Nya jua, pada mengerakkan dan mendiamkan seluruh tubuh mu
Yang menjadi Kudrat, Iradat, Ilmu, Sama', Kalam, Basyar, bah kan jua Hayat mu
Yang terhukum Maknawiyah, zahir di dalam zahir badaniah mu

Adanya Rasa itu, mendorong Fikir dalam mengembang Perbuatan mu
Tiada suara tiada jua kata-kata, melainkan hanya suluhan Cahaya Batin yang Satu
Dari-Nya juga Niat bangkit menyata ke seluruh fikir dan Saghir mu
Sehingga melakar takdir-takdir pada kadar yang ditentukan bagi mu
Rasa itulah titik mula terbitnya dari Cahaya Qalbu
Lahir dari hati yang cinta dan rindu, dari dan kepada Tuhan yang Satu
Apabila engkau merasa mendahului dari itu, maka itulah Nafsu yang selalu mengajak celaru

Janganlah engkau mengenal dengan umpama
Kenallah rasa rahsia cahaya dengan tenggelam di dalam Dia
Di alam sana segala yang ada sudah binasa
Tubuh, nama, duduk, fikir, akal, hati, rasa, cahaya, rahsia, semuanya sudah tiada
hanyalah Dia Tuhan yang Sedia Kekal dalam Wujud ke-Esaan-Nya
Yang berdiri akan Dia dengan Diri sendiri-Nya
Yang memusnahkan segala dalil dan umpama yang bersalahan dengan-Nya
Di sanalah yang apabila ada yang menanyakan Aku, Maka Aku tiada hanya ALLAH
Barangsiapa yang menanyakan Allah, maka Allah tiada hanya AKU
Yang memuji dan yang dipuji sudah menyatu, yang nyata hanya SATU!

~'Ali As-Satir~

Rabu, 8 September 2010

Sanubari Eidul Fitri

Kuala Kedah

Sanubari ini adalah langit
Hati ini adalah bumi

Dengan kehendak Dia
Kedua-duanya akan menyatu
Dalam alam wujud

Maka aku putuskan
Untuk mati sebelum mati
Menjadi mayat yang ditalikan takdir

Dunia umpama air pada teratai
Sedikit ghairah pun tidak ada
Teratai tetap teratai
Air dikalisnya atas kehendak Dia

Kalam ini menjadi ilmu
Aqal ini menjadi akhlak
Menyatu dalam cahaya Muhammad
Kembali menyatu dalam cinta al Haq

Ya Hu
Ya Hayy
Ya Haq
Cinta Mu aku tumpu.

*Salam Hari Lebaran.
Taqabbal Allahu minna wa minkum!
Minal aidzin wal faidzin.

Ahad, 5 September 2010

Cinta Nurbaya & Nur Aisya


Takkan selamanya tangan ini mendakapmu
Takkan selamanya raga ini menjagamu

Seperti alunan detak dan rentak jantung
Yang takkan bertahan melawan waktu
Semua keindahan akan pudar
Atau segala rasa yang bakal menghilang

Tak ada yang abadi
Benarkan aku bernafas sejenak
Sebelum menghilang
Jiwa lama akan pergi
Bersiaplah jiwa baru sebagai pengganti

~istimewa dari SSJ~

Sabtu, 4 September 2010

Bohlul al Majnun

Bohlul al Majnun gambaran pelukis


Syeikh as Sariy as Saqathy bercerita:

Pada suatu hari aku mendatangi kawasan perkuburan bagi menziarahi dan membacakan sesuatu kepada penghuni-penghuninya. Tiba-tiba aku terlihat Bohlul al Majnun (Bohlul si Gila). Begitulah dia dikenali orang. Tetapi dia sebenarnya bukan orang gila. Sesiapa yang tidak mengenalinya akan menyangkakan bahawa dia itu orang gila.

Aku melihat Bohlul al Majnun berada di sebuah kubur di situ. Dia sedang menggolek-golekkan tubuhnya di atas tanah perkuburan itu. Aku tidak hairan melihat perlakuannya itu kerana aku sudah tahu hanya dia sahaja yang akan melakukan perbuatan yang orang lain tidak akan melakukannya.

"Mengapa engkau di sini?" tanyaku kepadanya.

"Memang aku cukup senang berada di sini. Mereka tidak pernah menyusahkan aku, dan apabila aku pergi dari sini, mereka tidak pernah mencaciku di belakangku," tambahnya lagi.

Aku merenung wajahnya, dan aku tahu kata-kata seumpama ini bukanlah kata-kata yang biasa diucapkan oleh orang gila. Kata-katanya bernas dan mengandungi pengertian yang begitu mendalam.

Aku dapat mengolah kata-katanya itu, bahawa manusia hari ini tidak terlepas daripada perbuatan mencaci ataupun dicaci, mengganggu orang lain ataupun diganggu. Dunia hari ini telah rosak akhlaknya. Manusia tidak mempedulikan salah ataupun betul, dosa ataupun pahala. Mereka lebih senang menurut hawa nafsu semata-mata, meskipun hawa nafsunya itu kerapkali membawa mereka kepada malapetaka dan angkara yang besar.

Aku berdiam diri sebentar, tidak tahu apa yang akan aku tanyakan kepadanya lagi. Aku tidak mahu tersalah bertanya, mana tahu aku bakal menerima jawapan yang tidak enak daripadanya. Orang seperti ini pemikirannya bergerak cepat, mungkin apa yang dikatakanya adalah ilham daripada Allah SWT.

"Wahai Bohlul! Tahukah engkau harga roti sudah naik sekarang ini?" lidahku tiba-tiba berkata begitu, dan aku sendiri tidak tahu mengapa aku berkata-kata dengannya mengenai harga roti pula.

"Demi Allah, wahai Sariy, aku tidak peduli berapa sahaja harganya itu, walaupun sebuku roti berharga sedinar sekalipun. Itu bukan urusan kita," jawabnya tegas dengan wajah berkerut. Dia terlalu serius mengucapkan kata-kata itu.

"Apa yang harus kita pentingkan ialah kita harus menyembah Allah SWT dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang diperintahkan. Allah SWT akan mengurniakan rezekiNya sebagaimana yang dijanjikanNya. Harga roti naik ataupun turun bukan menjadi masalah, sebab walau bagaimanapun keadaannya, rezeki daripada Tuhan tetap ada," Bohlul berfalsafah lagi.

Amarah


Terangilah hatiku dengan maaf
Terang menerangi budi pekerti
Agar naga amarah ini bisa disimpan
Demi ketenangan hakiki
Untuk kembali ke zat suci
Cahaya Muhammad aku diciptakan
Dari cahaya jamal Mu
Raja yang maha nyata
Tak mahu ku berpaling!


Isnin, 23 Ogos 2010

Hidayah


"Kami hidup bersama Rasulullah SAW dan kami lihat tanda-tanda kenabian serta mukjizatnya. Kami benar-benar melihat dan mendengarnya, lalu kami memeluk Islam dengan mudah. Tapi kamu tidak pernah melihat dan mendengarnya, kiranya kamu beriman dengan apa yang tidak kelihatan, maka ganjaranmu adalah lebih besar sekiranya kamu beriman kepada Allah dengan jiwamu."

~Khalid Bin Walid~

Sabtu, 21 Ogos 2010

Jumaat, 20 Ogos 2010

Ilmu Bahagia


"Menurut pendapatku, bukanlah kebahagiaan itu pada mengumpul harta.
Tetapi taqwa akan Allah itulah bahagia.
Taqwa akan Allah itulah bekal yang sebaik-baiknya disimpan.
Pada sisi Allah sajalah kebahagiaan para orang yang taqwa."

~syair oleh Hutai'ah~


"Bahagia dan kelazatan yang sejati, ialah bilamana dapat mengingat Allah.

Di dalam batin engkau ada terkumpul beberapa sifat yang ganjil, sifat kebinatangan, sifat keganasan dan sifat malaikat. Tetapi dirimu yang sejati ialah nyawamu, rohmu. Hendaklah engkau tahu bahawa sifat-sifat yang tersebut tadi bukan kejadian yang asli dari jiwamu, dia hanya sifat-sifat yang mendatang kemudian. Sebab itu hendaklah engkau perhatikan baik-baik dan ketahui pula makanan apakah yang setuju dengan sifat-sifat tadi untuk pencapai bahagia.

Kalau engkau lihat salah satu anggota kerajaan hati itu melanggar undang-undang hidup, iaitu salah satu dari syahwat dan marah, hendaklah engkau lawan sepenuh tenaga. Jika dia kalah sekali-kali jangan dibunuh, kerana kerajaan hati tidak akan sentosa kalau keduanya tidak ada lagi. Kalau engkau jalankan resipi demikian, tentu akan memperoleh bahagia. Dapat engkau memegang dan mempergunakan nikmat Allah menurut yang semestinya. Tentu pada suatu peringatan kehormatan yang tinggi daripadaNya. Kalau engkau langgar petaruh ini, tentu engkau celaka, engkau dapat seksa yang bukan seperti, yang membuat engkau menyesal."

~Imam Al Ghazali~

Rabu, 18 Ogos 2010

Enlightenment of Love


I, is yourself
Love, this is your love
Soul, this is your soul
Miss, this is your miss
Blood, this is your blood.

With your hand I touch
With your foot I walk
With your eye I look
With your ear I listen to
With your tongue I talk
With your heart I feel.

Not anything else
Apart from yourself
Which always me worship
Me mention your name
In every my exhalation
Me mention your name.

~Syekh Lemah Abang~

Selasa, 17 Ogos 2010

Maha Penyayang


Telur.

Tidak seperti janin
Punya hubungan langsung dari ibu
Tapi telur sendirian
Cuma perlukan kehangatan
Lalu menetas
Seekor ayam sempurna berbulu.

Pada mereka yang mengerti
Itulah iradat dan kudrat
"Jadi, maka jadilah!"

Di Sebalik Pelangi


Di sebalik pelangi
Pasti mengidamkan mimpi berwarna-warni.

Pada mereka yang mengerti
Pelangi adalah rona diri
Hasil dari pancaran budi
Menerangi dunia pekerti
Menala cahaya hakiki ke dalam hati.

The Light of Enlightenment


I this one of sufi
Sleeping on the cold floor
At the porch in Nabawi Mosque.

And you Zeinab
Generously and humble
Give me olive and blanket.

Ahad, 15 Ogos 2010

Cengkaman Dunia


Seorang penyair bermadah:

"Takabur, sombong, jahil, lalai, dengki, dendam dan sangka buruk;
Dusta, mungkir janji, riak, marah dan mengumpat;
Apakah lagi penyakit yang tidak mengenaiku ya Tuhan!
Sembuhkanlah daku dari segala penyakit dan tunaikanlah segala hajatku;
Sesungguhnya aku mempunyai hati yang sakit
Dan Engkaulah penyembuh bagi segala penyakit."


Daripada Hazrat Abu 'Ubaidah r.a. beliau berkata saya telah mendengar Rasulullah (S.A.W) bersabda,

"Puasa adalah perisai, selama dia tidak memecahkannya."


Maulana Sa'di (rah) berkata:

"Orang yang memuja perut bukanlah orang yang berakal,
Kerana apabila perut penuh, fikiran akan kosong."


Satu syair berbunyi:


"Walaupun dibeban dengan segala kesibukan duniawi,
Tetapi masih aku tidak lalai dari mengingati Mu."


Sentiasa zikirkan di dalam hati kalimah toyyibah:

ﻻﺈﻟﻪﺈﻻﷲ

"Tiada nyata hanya Allah."

Selasa, 10 Ogos 2010

'Chi'


Akrilik di atas kanvas
914 mm X 610 mm
2010

Hanyut


Akrilik di atas kertas
406 mm X 305 mm
2010

Prejudis


Dalam melihat itu pula, ia (mata) banyak membuat kesalahan, kerana apa yang sebenarnya besar, pada pandangannya nampak kecil, apa yang jauh nampak dekat, apa yang diam nampak bergerak, apa yang bergerak nampak diam.

Muhammad S.A.W bertanya kepada Jibril:

"Adakah matahari itu bergerak?"

Jibril menjawab:

"Tidak - ya."

Muhammad S.A.W bertanya lagi:

"Bagaimanakah itu?"

Jibril menjawab:

"Antara aku berkata tidak dan ya itu, matahari telah bergerak sejauh 500 tahun perjalanan."

Oleh yang demikian, kesilapan dan kekurangan pandangan mata itu memang banyak, tetapi Aqal melampaui semua itu dan tidak ada kesilapan yang demikian itu.

~Misykaat al Anwar, al Imam al Ghazali~

Ahad, 8 Ogos 2010

Bidadari


Bidadari berlalu dibawa bayu
Seketika di sini
Memberi sejambak bunga cinta.

Bunga binasa
Tinggal cuma harum.

Hijab

Pilihan Cahaya

Dari pusat tenaga yang sama
Sifatnya menerangi.

(Tamsil):
Kandil itu syari'at

Purnama itu ma'rifat
Kedua-duanya menerangi malam.

Jika memilih kedua-duanya
Nah, cahaya di atas cahaya
Cahaya cinta
Terang bumi dan langit.

Sabtu, 7 Ogos 2010

Masa

Perjalanan

Menala tujuh gelombang
Harmoni sifatnya
Jadi satu tembang.


Pendakian masa
Jadi biasa.

Perang 2

Perang

Dalam pertarungan
Perlu ada kekalahan dan kemenangan.

Dalam pengorbanan
Menyerahlah untuk menang.


Jumaat, 6 Ogos 2010

Cahaya Cinta Hakiki


Menghitung setiap ksana
Menjejak zarah-zarah membentuk jasad
Asalnya tetap fana - cahaya.

Abadi. Hakiki.
Hanya dia.

Dari mataku memerangkap cahaya dunia
Tanpa gangguan fantasi
Menghalusi nama demi nama hingga sehalusnya wujud
Menerangi siang fikirku jadi matahari
Mengindahkan malam akalku jadi purnama
Jauh di sudut hati engkau cahaya bintangku
Bersinar selamanya lagi nyata
Jasad binasa tinggal cuma roh
Menyatu aku dengan engkau
Jadilah kami.

Segala wujud adalah engkau.
Aku ini tiada daya.
Hanya cinta darimu, aku di sini.

Rabu, 24 Mac 2010

Diri

Lakaran oleh Raja Shahriman

"Sekiranya seseorang itu tahu apa yang tersembunyi di sebalik dirinya, nescaya dia akan banyak menangis dari ketawa, akan banyak diam dari banyak bicara, akan banyak memberi dari banyak menerima, akan banyak akhirat dari banyak dunia. Dia akan menjadi umpama pelita yang menyuluh dalam kegelapan, dan tiap-tiap katanya akan menggetar hati dan perasaan insan."

~Mursyid Anwar Makmun Al-Mukmin~

Isnin, 15 Mac 2010

Baca - lah!

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan). Adakah engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang) - Seorang hamba Allah apabila ia mengerjakan sembahyang?
Adakah engkau nampak (buruknya) jika ia berada di atas jalan yang betul? - Atau ia menyuruh orang bertaqwa (jangan melakukan syirik)?
Adakah engkau nampak (terlepasnya dari azab) jika ia mendustakan (apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya) serta ia berpaling ingkar? Tidakkah ia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)? Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), - Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah. Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya), Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)! Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!

~96:1-19~